Lili sekadar memandang kosong pada Azhar yang nafasnya berombak turun naik selepas puas meluahkan perasaan. Dia rasa menyesal pula keluar minum mamak bersama rakannya Hanif dan Nana jika dia terpaksa berhadapan dengan kerenah pelakon lelaki tak popular ini.
Lili menyedut straw minumannya dengan kuat sehingga mereka berpaling padanya pula. Nana yang sememangnya berminat dengan Azhar mencerun marah padanya kerana tidak sensitif dengan Azhar yang ditimpa masalah itu.
"Apa?",ucap Lili membalas pandangan Nana dengan riak selamba.
"Kawan tengah ada masalah tu kau simpati la sikit",ucap Nana.
"Dia bukan kawan aku, dia kawan korang",jawab Lili, mencuri sotong dari pinggan nasi goreng Nana.
"Dah la korang, aku balik dulu. Aku kan bukan kawan dia",ucap Azhar seperti merajuk pula.
"Nanti aku bayarkan makanan kau ye",ucap Lili. Hanif dan Nana serentak memukul tangan Lili.
"Iye, aku bayarkan makanan korang semua. Jangan risau",ucap Azhar kemudian berlalu pergi.
"Kau ni kenapa? Simpati la sikit dengan dia",tegur Nana.
"Aku keluar dengan korang untuk makan sebab aku lapar. Dah la makanan sampai lambat lepas tu kena dengar luahan hati dia pula, kau ingat aku boleh sabar?",ucap Lili sambil menjulingkan mata tanda jengkel.
"Kalau ye pun lapar, janganlah sakitkan hati orang",nasihat Nana.
"Memang aku nak sakitkan hati dia pun. Dia sendiri buat salah, dia nak play victim pula. Memanglah dia tu pelakon tapi tak payahlah nak berlakon kat dunia nyata",ucap Lili.
"Iye, dia buat salah dan dah terima hukuman dia pun. Tapi mestilah dia rasa kesal sebab hanya dia yang diambil tindakan. Padahal dalam video panas tu ramai orang lagi yang terlibat termasuklah penerbit 'Islamik' sangat tu. Mentang-mentang perempuan tu ada duit, dia tak kena tindakan apa-apa",Nana meluahkan rasa geram.
"Tapi dari apa yang aku tengok, mamat perasan bagus tu bukan kesal dengan dosa dia peluk cium pelakon perempuan tu. Tapi lebih kesal sebab penerbit tu tak dikenakan tindakan. Nampak sangat dia just feel sorry because he got caught",ucap Lili.
"Huh, ni korang pula nak sambung bergosip. Kau ni Lili, tadi dia dok luah perasaan tak nak pula kau tegur depan-depan. Dah tak ada baru bising",sampuk Hanif.
"Kau pun kenal dia kan. Dari zaman universiti manalah suka aku. Tiap kali kitaorang bercakap mesti last sekali aku keluarkan penumbuk aku. Aku kira considerate tak nak cari gaduh dengan dia sekarang memandangkan dia dah popular, tengah ada isu jadi aku cuba tak nak tambah isu",ucap Lili.
"Dia memanglah..macam drama sikit. Tapi kadang-kadang aku kesian kat dia. Dia struggle tau nak kekal dalam industri hiburan ni. Hari tu yang dia join tabligh, dia sebenarnya hampir masuk fasa depressi. Dia cuba untuk jadi baik, Lili. Janganlah sebab satu kesalahan kita nak hukum dia selamanya",Nana masih mempertahankan Azhar.
"Dia tak pernah berubah, Na. Aku tak nak sentuh pasal benda lain tapi ni, aku sendiri yang terkena dengan dia dulu. Masa fakulti kita buat camp fire kat Pangkor. Dia tiba-tiba tarik aku, dukung dan masukkan aku dalam laut. Dia tu memang tak tahu nak hormat perempuan dari dulu sampai sekarang",
"Li, benda tu dah lama jadi kan. Masa tu kan kita semua muda lagi lagipun dia buat lawak je masa tu sebab kau degil tak nak mandi laut...",
"Aku tengah period kot lahanat. Kau nak aku umumkan pada semua orang aku period jadi aku tak mandi laut?",
"Oh ya, okay sorry aku lupa. But benda tu dah lama, Li",ucap Nana.
"Benda memang dah lama, aku tak harap pun dia minta maaf dengan aku. Tapi tolonglah, jangan normalizekan benda-benda yang langgar syariat macam pegang tangan bukan mahram, peluk cium lelaki perempuan walaupun sekadar lakonan. Aku tahu aku sendiri jahil agama, aku sendiri struggle nak tutup aurat. Cuma dosa tu jangan riak sangat nak tunjuk kat orang",luah Lili.
"Okay, aku nak tanya korang lah. Macam mana nak tahu kalau seorang perempuan tu memang tak suka disentuh? Maknanya jenis yang menjaga batas pergaulan?",soal Hanif tiba-tiba.
"Kalau dia bertudung..tutup aurat...kot. Yelah takkan kau suka hati nak pegang tangan perempuan tudung labuh. Tapak tangannya pun kadang-kadang terlindung sebab jubah",jawab Nana.
"Okay, bagus",ucap Hanif.
"Jap jap..tapi tak semestinya perempuan tak tutup aurat tu lelaki boleh suka-suka pegang",bidas Lili.
"Pernyataan yang bagus. Kau ingat tak satu drama Azhar yang tajuk dia err..Perempuan Syurga kalau tak silap. Dia berlakon dengan Mia Faiqah.",soal Hanif.
Lili dan Nana mengangguk.
"Aku tak tahulah jika skrip asal drama tu memang sangat teliti atau apa tapi aku tengok tak ada adegan yang tak sepatutnya dalam drama tu. Sebab apa? Kita tahu Mia memang jaga pergaulan dia dalam lakonan dan dia bertudung. Sama juga macam drama yang Azhar berlakon dengan Ulya. Ulya tu pun bertudung jadi memang tak ada babak pegang tangan pun. Tapi bila Azhar berlakon dengan Illyana yang memang kita tahu pakai pakaian terdedah dan selalu berpeluk sakan dengan teman lelaki dia, ada babak yang kontroversi dalam drama tersebut",cerita Hanif.
"Sebenarnya kau nak salahkan perempuan, kan?",ucap Lili mengepal penumbuknya.
"Nope. It takes two to tango. Aku tak cakap perempuan tak tutup aurat ni jahat tapi kadang-kadang lelaki pandang itu sebagai satu signal yang kami boleh bermesra tepuk tampar dengan mereka. Kalau perempuan tu tutup aurat, lelaki yang waras takkan suka-suka langgar batas. Penampilan perempuan itu saja dah macam lampu merah kepada lelaki. But again, not applicable to all situation. Dan kalau sampai dah tahap sexual harrasment atau kes rogol, mangsa tetap dikira tak bersalah walaupun dia berpakaian seksi sekalipun. Apa yang aku nak cakap kat sini, jangan mengundang lelaki untuk ambil mudah tentang kau. Aku bukan nak back up Azhar tapi Lili, kau dulu pun tahu kau jenis yang selamba lepak dengan lelaki kat kedai mamak tengok bola sampai larut malam. Aku yang rapat dengan kau tahulah kau ni jenis yang pantang disentuh secara fizikal. Tapi kawan lelaki lain kadang-kadang salah anggap keramahan kau tu adalah tiket mereka boleh bertepuk tampar dengan kau",ucap Hanif.