dunia makin malap
dan aku ambil langkah untuk berdiam diri dari mengutarakan apa-apa pandangan ku berkaitan isu semasa di status whatsapp
oh kecuali isu faisal halim
sebab entah aku sentiasa rasa pelik dengan orang yang suka nak menyakiti orang lain
aku bukan maksum, aku pun ada sifat 'tak suka' pada orang
tapi kuburkan sajalah perasaan tak suka kau tu
tanam dengan kedalaman paling dalam di tempat yang takkan ada orang temui perasaan benci tu
atau kalaupun orang terjumpa dengan perasaan benci kau tu
jadikan ia sesuatu yang harmless
ia ada tapi takkan mengganggu sesiapa
diam, menyendiri itu kadangkala lebih bagus dari berkata-kata
tentang isu seorang ustaz yang seperti dikecam berkali-kali
aku bukan orang arif agama
masa perkongsian ilmu agama di 'program universiti' pun aku galak tidur
tapi satu yang aku faham bila dah dewasa ni, jangan cepat membenci atau menyukai
jangan kerana satu dua kesalahan kau terus mengeji orang
selagi namanya Muslim, ada peluang untuk dia kembali bertaubat, membetulkan kesalahan
asalkan ia tidak mendatangkan mudarat pada ramai orang
aku bukan nak membela ustaz itu kerana aku 'minat' dia
tapi kesalahan dia kecil dan tak perlulah dibesar-besarkan sehingga mahu menjatuhkan kafir atau penunggang agama
aku bukan meremehkan agama cuma kalau nak tegas, ada ramai lagi politikus yang menunggang agama dan bercakap perkara yang tidak benar
kenapa mereka tidak menerima kecaman seteruk itu
dia manusia, dia buat silap
kau tahu dia silap pada satu perkara tegur, kemudian move on
tak usahlah membenci seolah dia manusia paling jahat
dan pengajaran yang aku boleh dapat dari ustaz itu ialah menjadi orang berilmu dan beriman ni kena banyak berdiam
kena banyak belajar kitab dari menghadiri keramaian sosial
kena banyak mendengar ilmu dari bercakap dalam program hiburan agama
kena banyak menunduk dari bergaul dengan kumpulan yang bukan mahram
kena menjauh dari kamera televisyen dan lensa media sosial
kena jaga ilmu dan iman di dada
bukan untuk mengatakan orang baik adalah hanya orang yang zuhud duduk surau kampung saja
tidak
tapi tahu membahagikan waktu untuk keduniaan dan akhirat
sebab aku sendiri masih culas dalam menguruskan hal agama ku
agama nafsi nafsi, padahal dahulu jenuh mengaji kitab tentang kumpulan yang futur dalam perjuangan agama
mungkin apa yang menimpa ustaz tersebut menjadi satu asbab untuk aku merenung kembali amalan seharian ku
dah hebat sangat ke aku mengaji ilmu, beramal soleh, berbakti pada masyarakat
isu ketiga yang menganggu fikiranku hari ini adalah golongan manusia yang terpaling percaya dan terpaling menyerahkan segala-galanya pada seseorang
seperti yang hazeman huzir perkatakan dalam ig story nya
dan sekali saja dikhianati, golongan ini tanpa teragak-agak akan memutuskan tali perkenalan, persaudaraan & persahabatan dengan orang tersebut
akulah tu..kot
usia aku 32 tahun dan aku hanya ada dua kawan baik yang masih berhubung dengan ku
orang kata hati ku kering
aku bergerak sendiri kemana-mana seolah tidak perlukan sesiapa
dan aku pentingkan diri sendiri sebab senang-senang memutuskan persahabatan tanpa sebab yang kukuh
itulah kelemahan aku
aku tak sedar bertapa banyak kali aku memaafkan kesalahan seseorang dan tidak berterus terang tentang apa yang aku rasa
dalam banyak perhubungan aku hanya mengalah
sampai satu tahap, tidak bergaduh besar pun, tapi ketidakpedulian orang itu yang buat aku terluka
aku sedang sedih, otak aku sedang menghina diri aku sendiri kerana satu perkara yang terjadi
aku hanya ingin bercerita, salah aku kerana tidak terlalu berfikir ketika bercerita
lantas sahabat itu terus menghakimi kekurangan agama aku
ia seperti satu tamparan maha dasyat
aku diam, diam seribu bahasa, tidak membalas
aku rela dianggap sombong, sensitif, tidak mampu menerima teguran
aku terima
sebab apa yang aku tahu jiwa aku terlalu sedih, terlalu kecewa
Tuhan datangkan satu peringatan kepada aku
jangan memutuskan silahturahim
sebelum tiga hari menjelma aku menghantar pesanan untuk mengundur diri
bukan membenci tapi perlukan sedikit ruang untuk mengasingkan diri
mungkin ada hikmah disebalik semua ini
aku redha ditinggalkan sendiri
di kubur kita juga bersendirian, bukan
tapi sejujurnya bukan mudah untuk aku memaafkan diri aku sendiri
aku selalu fikir jika aku tidak terlalu sensitif, mungkin aku masih berkawan dengan beberapa lagi kawan baikku
perasaan ingin kembali ke masa lalu sangat kuat sehingga aku termimpikan mereka
dalam mimpiku, kami berbaik dan menghabiskan waktu bersama
bila aku celik mata, realiti memukulku kuat
kau masih sendiri, farhana
hiduplah dengan apa yang kau ada
hiduplah dengan sisa semangat yang kau ada
ia pahit, ia perit tapi itu lebih baik
aku tak nak bersama seseorang dalam hubungan yang toksik
aku tak nak menjadi toksik itu
di hari baik bulan baik ini aku maafkan semua orang
hatiku mungkin akan berbolak balik
tapi untuk sekarang, aku tak nak hidup dalam kebencian pada saudara Islamku sendiri
aku hanya mahu tenang