Sunday, 10 December 2017

Surat untuk mereka

Assalamualaikum
Kehadapan kepada kalian, insan yang aku tujukan surat ini
Moga kalian dalam keadaan sihat sejahtera sentiasa

Pertama sekali aku ingin memohon maad atas kekhilafanku
Maaf jika ada perkataan dalam surat ini yang akan menyinggung kalian
Sesungguhnya tujuan surat ini ditulis bukan mengundang sengketa
Tetapi lebih kepada meluah rasa
Itupun jikalau kalian sudi membacanya

Aku takkan utuskan surat ini terus ke alamat kalian
Tetapi lebih elok jika aku paparkan disini
Aku takut untuk memenuhkan peti surat kalian dengan surat yang tidak penting seperti ini
Jika kalian terbaca surat ini, maka kalian benar-benar ambil tahu tentang diriku dan berhak untuk mengetahui isi hatiku
Tetapi jika tidak, aku anggap kalian masih tidak mengenaliku

Cukup mukadimah
Kalian semua...aku tahu kesedihan dan kepedihan di hatiku akibat tindakan kalian adalah petanda aku sayangkan kalian dan begitu juga sebaliknya
Kerana jika orang asing yang menyakitiku, aku boleh melupakannya barang sehari dua
Tapi kerana sayang kalian itulah yang kadangkala menyebabkan aku jadi nanar

Aku disini kerana kalian
Kerana kalian telah banyak berjasa dalam hidupku
Aku bukan mahu mengungkit walaupun itulah yang sering aku bicarakan pada diriku sendiri
Tetapi selama hidup aku 26 tahun ini, kalian adalah pengaruh utama dalam setiap keputusan yang aku buat dalam hidup
Aku beruntung dapat mengenali kalian dan hidup selama 26 tahun bersama kalian
Aku gembira jika dapat menggembirakan kalian

Cuma sejak akhir-akhir ini, mungkin kasih sayang antara kita diuji oleh Tuhan
Beberapa keputusan yang aku buat pada masa lalu, yang pada ketika itu tidak kalian bantah, diungkit kembali
Aku jadi bersalah seolah apa yang terjadi adalah salah aku
Kerana aku terlalu naif, terlalu tidak matang

Aku akui, aku manusia yang seperti itu
Aku tidak pernah merasa kesusahan dari kecil, terima kasih kepada kalian
Hidup aku sempurna jika dibandingkan dengan beberapa rakan sebaya ku
Kerana itu aku tidak meminta banyak
Aku hanya mahu kalian memahami ku sekurang-kurangnya sebagai seorang manusia

Aku punya hati, punya kehendak sendiri dan punya impian sendiri yang tidak pernah kalian tanyakan kepadaku
Sekalipun tidak pernah, aku takkan salahkan kalian kerana aku juga tidak sebegitu mendalam mengenali kalian
Hubungan kita hanya sekadar mengikut protokol pada kebanyakan masa
Yang aku fikir itulah sebab mengapa aku selalu memilih jalan selamat dalam setiap perhubungan yang lain

Mungkin aku yang harus belajar merendahkan harapan aku pada kalian
Supaya kalian juga berbuat yang demikian
Kerana sungguh, kalian hanya akan menambah ketebalan tembok yang aku bina di sekelilingku
Aku takkan dapat memenuhi harapan kalian
Aku minta maaf

Aku tak tahu untuk menjadi yang lain selain diriku
Aku tak tahu untuk menjadi sesuatu yang normal seperti rakan sebayaku yang lain
Maafkan aku kerana itu

Kerana....setiap insan ada rahsia mereka
Rahsia diriku mungkin akan dibawa sampai ke mati jika kita masih begini
Aku tidak boleh menjadi seperti 'itu'
Aku tak mampu menjadi seperti 'itu'
Kerana aku telah menemui sesuatu yang membawaku jauh dari sebuah kehidupan normal

Ia kedengaran satu hiperbola
Tetapi ketahuilah aku hidup bukan untuk diriku seorang
Bukan untuk kalian atau orang disekelilingku
Aku hidup untuk menyaksikan ummah merealisasikan ustaziatul alam

Bila kita merancang untuk melakukan segalanya tetapi sebenarnya kita tidak melakukan apa-apa
Itulah aku
Aku akui tiada apa yang aku lakukan untuk merealisasikan impianku
Tapi cukup untuk aku faham yang aku tidak boleh hidup seperti yang kalian mahukan
Punya kerjaya gah, berkeluarga bahagia

Aku tidak boleh
kerana dalam diri ini sudah terpahat nama seorang insan dan sesuatu yang melangkau segala yang didunia ini
Aku sudah ber'janji' untuk memberi sepenuh ragaku kepada mereka

Maka, aku masih dalam perjalanan mencari jalan kearah itu
Saat ini aku rasakan aku tidak mahu satu pun didunia ini untuk diriku
Aku masih bertatih mencari jalan hidupku, jauh dari seperti yang kalian mahukan
Untuk itu, berilah aku peluang

Beri aku peluang untuk membuat keputusan sendiri
Supaya diakhir waktu aku tidak akan menyalahkan sesiapa walaupun diriku sendiri
Berilah peluang untuk aku matang dengan cara hidup yang aku pilih

Aku masih belum membukakan hatiku sepenuhnya pada kalian kerana kekecewaan masa laluku
Aku tak mahu diriku dipersalahkan lagi atas keputusan yang aku buat
Aku tak mahu kalian meranapkan kepercayaan aku sekali lagi

Jadi berilah aku peluang

Maafkan aku atas keterlanjuran kata
Terima kasih atas segalanya

Yours truly,
D.

No comments:

Post a Comment