Monday, 17 December 2018

Kisah Seorang Sahabat

Aku berbalas mesej dengan seorang sahabat aku baru-baru ni. Iye, aku memang menggunakan terma sahabat berbanding kawan, itu bermakna kami sudah kenal lama dan boleh mempercayai satu sama lain seperti keluarga sendiri.
At least pada aku. Sebab dia yang aku kenali sangat susah untuk menyatakan ayat-ayat sentimental atau bersifat romantik pada kenalannya.

Kenapa tiba-tiba aku mahu bercerita tentang dirinya? Kerana aku rasa aku patut belajar sesuatu dari kisah hidupnya. Biarlah aku gelarkan dia disini sebagai S. Ye, aku tak mahu dia muntah hijau membaca ayat-ayat ku yang jiwang ni, apatah lagi mahu pembaca lain tahu yang tulisan ini adalah mengenai dirinya.

S adalah seorang pelajar, anak pintar. Daripada sekolah rendah sehingga ke peringkat universiti, pencapaian akademiknya sentiasa membanggakan. Tapi dia bukan tipikal pelajar nerda yang ulang alik perpustakaan seperti aku, malah dia membenci aktiviti itu kerana mengantuk. Sewaktu tingkatan empat, dia telah menjadikan rabu dan khamis sebagai cuti umumnya kerana pada dua hari itu, tak banyak subjek yang dipelajari di sekolah. Jadi jelaslah sudah dia bukan tipikal pelajar pandai yang baik dan nerda. Tapi dia juga bukan si genius, mahupun si pembawa masalah di sekolah. Aku tahu semua kecemerlangan akademik yang dicapainya adalah berkat kerajinannya mengulang kaji pelajaran sendirian di rumah. Lagipun dia mudah tangkap apabila guru mengajar di hadapan dan menunjukkan minat yang luar biasa pada subjek mengira seperti matematik dan matematik tambahan.

Daripada sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah, kami satu sekolah. Percayalah, tiada satu hari pun yang aku tak pernah berhajat mahukan kehidupan sepertinya. Dia pelajar pandai, walaupun bukan si aktif kokurikulum, tapi bukan juga si antisosial. Rakan-rakannya terdiri dari pelbagai jenis, daripada budak pandai yang hanya bercakap bahasa Inggeris kepada budak kelas belakang yang popular kerana sifat peramah. S seorang yang cool senang kata, jadi semua orang menyenanginya.

Perjalanannya ke peringkat universiti mudah seperti kebanyakan pelajar pintar yang lain. Dia mengambil Asasi dalam bidang perubatan dan dengan keputusan 4 flat nya, dia dapat menyambung ke sarjana muda perubatan. Disini, S diuji. Dia sepertinya sudah penat memenuhi expectation orang ramai terhadap pelajar pandai yang harus mengambil pengajian susah tahap gaban seperti perubatan atau kejuruteraan. Satu hari dia merasakan sudah cukup cukup sudah stress yang ditanggung, maka dia menggalas beg dan terus pulang ke kampung halaman. Kayak seorang Samurai yang sangat berani menegakkan keadilan. Setelah berfikir-fikir, dan mengalami kejatuhan emosi, S bangkit semula dengan memilih untuk belajar dalam bidang Statistik di salah satu universiti terkemuka di Malaysia, UM. Dia banyak bertanya pada ku yang ketika itu turut mengambil jurusan diploma Statistik di UiTM.

S akhirnya menemui bidang yang sememangnya sebati dengan dirinya, si Ratu Matematik. Seperti biasa, pencapaian akademiknya cemerlang dan dia berjaya menghabiskan pengajian sarjana mudanya lewat sedikit daripada aku. Kemudian, tipikal untuk seorang graduan yang bijak sepertinya, dia menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Sepanjang dia bergelar seorang pelajar universiti, dia tak pernah putus asa mengumpul duit sendiri dengan bekerja pada setiap cuti semester.

Kemudian, S diuji dengan salah seorang anggota keluarganya ditimpa penyakit misteri. S yang ketika itu baru saja menghabiskan pengajian sarjana nya terpaksa mengorbankan masanya menjaga ibunya yang sakit. Hampir beberapa bulan ibunya sakit dan sememangnya memerlukan seorang penjaga 24 jam sehari. Dalam tempoh itu, aku dan kawan aku sentiasa bimbangkannya. Namun tipikal S, dia tidak selalu menceritakan kesusahannya pada orang lain. Mungkin hanya pada kenalan atau keluarga rapatnya, namun dia tidak pernah menjaja perhatian di media sosial dengan status yang berunsur depresi.

Aku, tipikal seorang rakan yang tidak tahu untuk berbuat apa hanya mampu memberikan kata-kata semangat. Mungkin juga S merasakan semua itu adalah kata-kata kosong sama seperti orang lain. Dia berhak untuk fikir begitu kerana sepanjang beberapa tahun, aku jarang benar mengambil tahu hal nya. Iyalah, S yang aku dan kawan aku kenal adalah seorang yang sangat berdikari dan kuat baik dari segi emosi dan keupayaan.

Berkat kesabaran S, ibunya perlahan-lahan pulih. Apabila sudah yakin ibunya sudah benar-benar pulih, Allah beri dia ganjaran dengan mendapat pekerjaan baik di ibu kota Kuala Lumpur. S tak memandang ke belakang lagi dan meneruskan hidupnya dengan cool dan ohsem.

Kisah S banyak memberi pengajaran pada aku. Sejujurnya, aku adalah semua yang bertentangan dengan sifatnya. Aku si drama queen, yang sentiasa mengalami perubahan emosi dan perlu diluahkan walaupun ia hanya perkara kecil. S pula si cool yang bukan tiada masalah, tapi memilih untuk menyelesaikan masalahnya dengan cara yang matang dan tenang.

Aku benar-benar tersentuh dengan pengorbanan S menjaga ibunya. Mungkin itu rahmat Allah swt pada seorang anak yang taat dan patuh pada ibu bapanya, perjalanan hidup S dipermudahkan. Aku pula, sebelum ini sentiasa merasakan aku sudah cukup baik berbanding kedua ibu bapa ku. Aku memakai stokin sementara ibu ku tidak, aku ikut usrah di universiti dan pernah mengikuti beberapa kegiatan amal sementara bapa ku tidak pernah dan banyak lagi perilaku yang aku rasakan menjadi asbab Allah menyukarkan jalan hidupku. Aku terlalu angkuh pada ibu bapa ku sendiri, dan sentiasa menyalahkan mereka atas takdir hidupku. Padahal mereka lebih kenal aku dari diriku sendiri.

Semua teguran dan marah yang diberikan adalah kerana mereka tahu aku tidak bahagia, tidak berada dalam kondisi yang baik. Aku anak yang memeberontak dalam diam, dan pernah berjanji pada diriku sendiri akan membenci mereka buat selama-lamanya. Benar, kenyataan itu memang benar. Sejak mula bekerja, aku kurang untuk merasa syahdu meminta maaf pada kedua ibu bapaku pada hari raya. Aku terlalu memikirkan diriku, memikirkan cakap-cakap orang sekeliling yang sememangnya takkan pernah senyap walaupun jika aku sudah menjadi kaya dan terkenal seperti Vivy Yusof.

Aku tahu, mereka masih manusia yang buat silap. Aku hanya terasa hati dengan kesilapan itu, tapi tiada hak untuk membenci mereka. Sedangkan mereka pula sebaliknya, sejahat manapun aku berubah, mereka masih menyayangi aku.

Mungkin.

Kerana aku telah melakukan banyak kesalahan yang tak mungkin dapat dimaafkan sehari dua. Lebih teruk daripada itu, aku sentiasa rebel dengan Allah dan sudah tidak percayakan-Nya lagi. Aku mungkin nampak baik di luar, tapi dalam aku penuh dengan dosa. Kerana itu aku rasakan jalan hidupku sukar, kerana aku tidak mendapat barakah sepertimana S. Aku boleh cemburukan bakat dan kepandaiannya, namun aku tak dapat nafikan kekentalan jiwanya mengharungi semua cabaran hidupnya yang aku rasa, jika diberi pada aku, aku tak mungkin dapat laluinya dengan sabar dan ikhlas.

Sabar dan ikhlas.
Itu kunci kehidupan yang masih aku tercari-cari.

Ya Allah, aku tahu aku tak patut berdoa disini. Tapi aku sangat lemah dalam mengungkapkan rasa melalui cara verbal. Jadi, anggaplah ini satu surat yang ikhlas untuk aku luahkan perasaan pada-Mu.

Ya Allah, Kau bantu aku untuk kembali pada Mu.
Kau bantu aku Ya Allah
Kau beri aku dugaan sesuai dengan kemampuan ku, Ya Allah
Walaupun aku berada pada tahap manusia yang paling daif, jangan kau pesongkan hati aku dari menyintai dan menyayangi-Mu Ya Allah

Kau berilah rahmat dan kasih sayang-Mu agar aku mampu menzahirkannya pada kedua orang tua ku, Ya Allah. Aku tidak mahukan kehidupan orang lain. Aku hanya mahu aku menjadi aku, dan menjadi hamba-Mu yang taat Ya Allah.
Ampunkan segala dosaku andai itu adalah hijab yang menghalang rezeki Mu untuk sampai padaku. Aku bersyukur atas segala yang telah Kau berikan padaku. Keluarga yang baik, sahabat yang baik seperti S dan ramai lagi insan-insan mulia yang kau datangkan padaku, Ya Allah.

Ok, untuk S. Aku benar-benar rasa terinspirasi dari kisah kau. Terima kasih. Seperti yang selalu aku katakan, kau mungkin tak perlukan aku, tapi aku sentiasa perlukan kau sebagai sahabat. Walaupun hanya mampu berdoa dan terinspirasi dari jauh. Semoga Allah sentiasa merahmati hidup kau, sahabat.

No comments:

Post a Comment