Saturday, 4 April 2020

Early Bird dan aku yang tak boleh tidur lagi


Erkenci Kus (Early Birds) adalah sebuah drama siri dari Turki. Waduhh lihatlah lengan hero yang sasa tu, seram pula aku melihatnya. Ada 51 episod, satu episod dua jam. Jadi secara pengiraannya, tahapnya sudah sama seperti sinetron Bawang Putih Bawang Merah.

Kenapa aku tengok drama ni?
1. Aku bosan
2. Youtube gatal buat reccomendation lepas aku gigih mencari drama Payitaht Abdülhamid
(Sultan Hamid) dari kerajaan Turki Uthmaniah. Siapa tahu kat mana nak download sila beritahu. Aku ada jumpa page untuk tonton online tapi menyirap pula dengan tahap loading dia.
3. The charactersss

Drama ini dimulakan dengan memfokuskan kehidupan seorang gadis dari keluarga biasa, Sanem (fuhh klise) yang sedang menulis bait-bait kata puitis dalam buku notanya sambil menjaga kedai bapanya. Tiba-tiba dia didatangi kawan lelakinya Zuberjet yang tiba-tiba mahu masuk meminang. Apabila mengetahui ibu bapanya bersetuju untuk menerima kedatangan keluarga lelaki itu, Sanem jadi marah dan gelabah. Dia tahu ibu bapanya sebenarnya mahu memaksanya mencari pekerjaan yang lebih senonoh sedikit daripada kerja menjaga kedai runcit keluarga atau menulis cerita dalam buku nota.

Maka hari itu juga Sanem gigih bertanya kawannya mengenai sebarang kerja yang boleh mengikut skema garis panduan ibu bapa 101. serius aku cakap, ia berlaku pada aku (Maksudnya tentang kerja yang dipanggil KERJA. Kerja hempas pulas pagi malam di kedai buku bukan dikira kerja oleh ibu bapa aku dan beberapa orang malaun disekeliling aku). Hari itu juga dia dapat tahu sebenarnya ada kerja kosong di syarikat tempat kakaknya, Layla bekerja. Maka walaupun mereka bagaikan anjing dan kucing, Sanem bersungguh mahu mendapatkan pekerjaan tersebut. Dia sanggup memecahkan tabu nya bekerja di syarikat koperat atau ofis hanya kerana tak mahu berkahwin dengan Zuberjet yang bodoh-bodoh alam itu.

Hari itu juga dia ditemuduga dan diterima bekerja. Jawatan yang dia minta lebih kepada pembantu pejabat, dia diterima kerana sifat kelakar dan berterus-terangnya. Lagipun Sanem mempunyai kemahiran topographi yang sepertinya sangat mengakagumkan bos di syarikat pengiklanan itu. Syarikat tersebut bukanlah sebosan yang disangka Sanem, kerana itu dia setuju untuk menerima jawatan itu walaupun skop kerjanya sama saja seperti bekerja di kedai runcit. Dia bersama seorang lagi pembantu pejabat, Jeyjey terpaksa menguruskan hal berkaitan majlis gala syarikat mereka.

Bayangkan masuk kerja terus sibuk. Kemudian, kita fokus pula pada watak hero. Seorang lelaki berbadan sasa yang sumpah aku seram tengok badan dia yang besar. Dah la muka ala-ala pencuri hati kelas satu dengan jambang Pewdiepie nya (ahaha sempat). Sejujurnya, aku lebih sukakan lelaki yang nerda,berkaca mata & naif. Sebab aku masih dibayangi karakter Brendon Flinggin dalam filem Class Rank. Lelaki yang kacak terlampau dan mempunyai pakej lengkap seorang prince charming ni biasanya memang 'menyeramkan' aku. Apatah lagi dengan badan sasanya, hampir aku tercekik kerana tersedak melihat otot badannya ketika menukar pakaian selepas melakukan aktiviti lasak di air terjun.

For godsake please wear your damn shirt!

Hero tersebut bernama Can Dixit. Tiba-tiba dia diminta pulang oleh keluarganya iaitu pemilik syarikat pengiklanan tempat Senam bekerja untuk menghadiri malam gala syarikat mereka. Waktu dia masuk ke pejabat, ramailah gadis-gadis yang hilang kewarasan akal melihat tubuh sasa dan senyuman pencair hatinya. Shot kamera pula asyik la tunjuk bagaimana Sanem asyik terlepas dari melihat Can yang dia kenali sebagai anak bos selain Emre, iaitu eksekutif kewangan syarikat tu. Pendek cerita sebenarnya bosnya panggil Can balik sebab dia mahu Can ambil alih perniagaan kerana dia tak percayakan Emre. Lagipun bapa mereka percaya ada spy dalam syarikat mereka, jadi dia mahu sekurang-kurangnya Can cari spy itu. Can memang tak minat nak bekerja di syarikat sebab dia lebih suka jadi pengembara dan aktiviti lasak.

Malam gala syarikat, Sanem dan Jeyjey sibuk uruskan majlis. Bila sampai masa, mereka harus masuk dan duduk dalam dewan untuk menonton satu tayangan cerita. Sebelum Sanem ke tandas, Jeyjey beritahunya supaya masuk di bilik D. Sebenarnya Jeyjey tersilap, ia sepatutnya bilik B. Tapi dia malas nak telefon beritahu Sanem sebab keadaan masa tu kelam kabut.

Jadi Sanem pun pergi ke bilik D, waktu tu tayangan cerita dah mula dan dewan dah gelap. Bila dia ke bilik D yang sebenarnya bilik VIP tiada siapa di situ. Tiba-tiba masuklah seorang lelaki yang menyangka Sanem adalah teman wanitanya lalu suka hati bapak tirinya mencium Sanem. Lepas tu apa lagi Sanem jadi kaget dan terus lari keluar. Dia hanya tahu orang yang cium dia tu berjambang dan memakai kasut hitam besar.

Maka bermulalah pencarian Sanem tentang lelaki misteri yang menciumnya, sebab dihatinya dah rasa bunga-bunga cinta. Dia menggelarkan lelaki misteri itu Albatross, sempena nama burung liar yang menjadi inspirasinya selama ini. Oh lelaki itu haruslah Can, kalau setakat ajk dewan JKKK memang dah kena lempang sebab cium perempuan. Sanem gigih mencari dan mencatat semua lelaki berjambang dalam syarikatnya.

Apabila Can ambil alih sebagai bos, ada pertikaian di syarikat mereka yang menyebabkan Sanem lebih menyokong dan menjadi orang suruhan Emre. Dia menyokong Emre kerana lelaki itu dah beri dia duit untuk langsaikan hutang bapa Sanem. Berlakulah beberapa peristiwa kelakar dan memalukan Sanem yang gelabah (seperti biasa, watak klise), berterus terang dan naif. Sanem terpaksa jadi spy untuk halang Can lakukan beberapa perkara yang boleh jejaskan kedudukan Carmde di syarikat itu.

The rest tengoklah sendiri.

Aku rasa plot cerita ni klise, tentang damsel in distress dan prince charming. Kalau nak komen tentang plot cerita, aku lebih suka kalau dia lebih memfokuskan dari sudut pembinaan karier Sanem yang bercita-cita nak jadi penulis. Dia seorang yang suka berangan dan suka menulis cerita, malah tajuk Bird Bird itu merujuk kepada nama penanya dalam bidang penulisan. Namun sekarang aku dah sampai episod 21, apa yang berlaku adalah Sanem lebih banyak bermain cinta dan tarik tali dengan Can. Sebagai pembantu pejabat, memang tugas Sanem tidaklah signifikan tapi plot cerita tak banyak menunjukkan Sanem seorang yang kreatif menyumbangkan idea untuk pasukannya (semua pekerja termasuk pembantu pejabat digalakkan memberi idea untuk setiap projek). Sanem lebih kreatif mencipta alasan untuk menutup penipuannya pada Can. Walaupun selepas bakat penulisan Early Bird dikesan oleh syarikat tersebut untuk menulis sketch iklan mereka, Sanem tidak begitu bersungguh-sungguh melakukannya. Dia cuma ditunjukkan menyumbangkan idea merubah lokasi dan stail pakaian model yang melakonkan iklan tersebut. Kemudian selepas mendapat intership menjadi screenwriter syarikat berkenaan, perkembangan Sanem dalam penulisan masih tidak dapat dilihat.

Kalau nak diikutkan pengalaman aku menonton drama bersiri Turki (sebelum ini Endless Love kalau tak silap aku tajuk dia) , aku dah boleh biasakan diri dengan budaya masyarakat Islam di Turki. Semoden manapun mereka, setiap dialog mereka pasti tidak tinggal menyebut nama Allah seperti Ya Allah Ya Allah, Masyaallah, May Allah protect you dan banyak lagi. Aku pun keliru dengan agama mereka sebab aku tak jumpa seorang pun watak (termasuk watak sampingan) yang bertudung dan solat. Seolah Turki bukanlah sebuah negara Islam.

Budaya pergaulan lelaki perempuan mereka membenarkan mencium pipi atau berlaga pipi tapi mencium bibir adalah dilarang. -_-
Dalam aspek moral, aku lebih memilih cerita ini berbanding Endless Love yang bagi aku awal-awal lagi sudah memberi persepsi yang salah mengenai  seorang wanita yang sudah berkahwin membuat hubungan cinta dengan kekasih lamanya dan seterusnya mengandungkan anak luar nikah. Dalam Endless Love, suami si watak heroin sememangnya jahat, tapi bagi aku, seorang isteri tetap dibawah tanggungjawab suami. Heroin mempunyai kuasa untuk menuntut penceraian, tapi dia lebih berminat untuk bersama dengan kekasih lamanya untuk sama-sama menjatuhkan si suami. Tak kisahlah bab nak menjatuhkan tu, tapi apahal pula tiba-tiba timbul anak luar nikah.

Oh, aku beritahu tadi apa yang aku suka tentang drama Early Bird ini adalah tentang karakter yang ada. Apa yang membezakan Sanem lain dari watak Candy dalam drama Korea, ialah pelakonnya benar-benar menghidupkan watak tersebut dengan cara tersendiri. Penonton takkan pernah bosan menonton kenaifan dan sikap selamba Sanem dalam banyak hal. Aku juga suka kerana dia juga sangat bersifat tradisional. Dia mencipta minyak wangi sendiri dari bunga liar yang dia jumpa di kawasan hutan, lebih mahir menggunakan pensel atau mesin taip dari menggunakan komputer dan sukakan teh berbanding kopi. Karakternya sangat cocok dengan Can yang juga bersifat bebas dan berdikari. Can pada kebiasaannya adalah serius tapi dengan kehadiran Sanem, dia jadi sangat lovable.

Cuma aku seriously tak gemar dengan babak terlebih romantiknya. Nak cakap tu boleh tak jaga jarak, senang kalau musim Corona virus takdelah terseksa sangat.

Aku suka konsisten yang ada pada watak Jeyjey dan Derren.Jeyjey jika dalam siri televisyen Amerika adalah tipukal watak lelaki lembut yang gay. Syukurlah Jeyjey seorang yang straight walaupun dia seorang yang lembut dan sarkastik. Derren yang memegang watak Ketua Pengarah Kreatif pula dari mula hingga akhir seorang yang berlagak, suka mencari gaduh, dan tipikal watak pembuli. Namun wataknya masih tidak melebihi batas menjadi seorang wanita yang tak bermaruah. Maksudnya, walaupun dia sukakan Can dan membuat pelbagai percubaan memikat Can termasuklah tidur di rumah lelaki itu dan memakai pakaiannya, tiada adengan berlebihan antara mereka. Derren masih seorang wanita yang takkan merendahkan maruah wanitanya untuk mendapatkan seorang lelaki. Malah dalam beberapa scene, walaupun dia membenci Sanem, mereka masih boleh berkerja dalam satu pasukan dengan baik. Pada mulanya dia banyak membuli Sanem, namun apabila Sanem menjadi screenwriter intern, dialah yang banyak mengajar gadis itu.

Watak antagonis dalam drama ini dilihat tidak terlalu berlebihan. Emre memang mahu menguasai syarikat namun dia masih menghormati Can sebagai abangnya dan tidak melampaui batas dalam melaksanakan cita-cita jahatnya. Layla sebagai pembantunya selepas ini akan bertukar menjadi kekasihnya. Emre juga menghormati Leyla dan tidak pernah melampaui batas walaupun dia tahu dia boleh memaksa Layla mengkhianati Sanem dengan lebih teruk.

Setakat inilah. Sebab dari apa yang aku lihat, ada sesuatu buruk akan berlaku pada Can dan setakat ini hanya Emre yang mampu pergi sejauh itu untuk menjatuhkan Can.

Link untuk review drama Endless Love https://hanashinichi.blogspot.com/2017/12/dari-malaysia-ke-negeri-china-singgah.html

No comments:

Post a Comment