Wednesday, 29 April 2020

Bebelia 7 Ramadhan

Media sosial, termasuk instagram dah bertukar menjadi satu lubuk sosial yang toksik. semakin hari semakin ramai orang bergaduh. Semakin banyak benda negatif muncul walaupun dari sesuatu yang positif. Sesiapa saja tak terkecuali. Dari golongan para astasizah ke pemilik empayar syarikat fesyen, semuanya terpalit dengan isu yang negatif.

1. Isu ASK Fynn Jamal

Aku mengikuti fynn jamal sejak awal tahun lepas. Benda yang paling aku nanti-nantikan setiap kali adalah ruangan ASK nya. Aku bukan ada soalan sangat pun nak tanya, tapi aku suka baca masalah orang dan kak fynn akan cuba bantu atau jawab apa yang dia tahu.  Kadangkala ia masalah remeh dan kelakar, dijawab dengan nada sarkastik untuk memberi penekanan bertapa soalan itu sebenarnya tidak harus ditanya pada seorang perempuan muslim.

Contohnya isu remaja nak bercinta dan mendapat tentangan ibu bapa. Sudah tentu yang ditanya adalah seorang ibu, jadi mengapa berharap yang kak fynn akan menyokong tindakannya membelakangkan ibu bapa.

Untuk pengikut kak fynn, mereka sudah biasa dengan sarcasm dalam kelembutan fynn jamal. Tapi seperti biasa ada saja manusia yang lurus bendul tidak memahami sarcasm tersebut, dan menuduh kak fynn seorang yang tak beradab dan seorang yang 'tak boleh jawab soalan elok-elok'.

Ada satu ketika, Kak Fynn terpalit dengan kontroversi menjawab pertanyaan berkenaan hukum. Dia sudah menyatakan yang semua yang dijawab adalah berdasarkan apa yang dia belajar, bukan dia saja-saja merekanya. Maka muncullah segerombolan para astasizah menyerangnya secara personal dan terbuka.

Ia menyebabkan dia serik untuk menjawab soalan yang berkaitan hukum, dan jika ada pun, dia pasti akan menulis pernyataan 'Ini saya, anda sila ke kelas'.

Netizen di Malaysia masih jauh ketinggalan dengan budaya pembelajaran seperti di Barat, yang menggalakkan pelajarnya supaya bebas mencari jawapan sendiri dan bersifat berdikari dalam menimba ilmu. Jika mereka rasakan jawapan kak fynn tak menepati apa yang mereka harapkan, mereka bebas untuk mencari jawapan dari sumber lain.

Yang membawa kepada persoalan kedua iaitu, jika tidak fakih, mengapa adakan sesi soal jawab tersebut?

Kak fynn tak pernah menyatakan pada tajuk utama ASK nya yang semua pengikutnya harus bertanya soalan agama. Berdasarkan pemerhatian aku, dia lebih suka jika pengikutnya bertanyakan soalan berkenaan permasalahan seharian (contoh dilema seorang anak yang terpaksa memilih antara kelas online dan menolong mak di dapur) dan soalan berkenaan produknya atau keusahawanan. Ruang ASK itu seperti sesi berinteraksi dengan pengikutnya kerana dia jarang untuk membalas komen pada setiap postnya.

si penanya pula kadangkala suka bertanya soalan perangkap demi memuaskan kepentingan diri sendiri. Contohnya jika kak fynn bersetuju dengan mereka untuk membelakangkan ibu bapa demi cinta terhadap kekasih, maka itu boleh menjadi alibi, hujah perbuatan mereka.

Kenapa kahwin lari?
Ohh kak fynn cakap kita kena perjuangkan cinta kita.

Itu contoh ye.

Manusia ada satu instinct untuk tahu sama ada soalan atau pernyataan seseorang itu hanya untuk memerangkap atau sememangnya mereka tidak ada ilmu tentangnya. Mungkin dalam beberapa situasi, berdasarkan pemahaman kak fynn, si penanya ingin memerangkapnya. Kerana itu dia beri jawapan sarkastik level tinggi. Jika pun dia salah faham, sepatutnya si penanya (jika ikhlas memang tak tahu) berterus terang tentangnya secara personal. Bak kata mat luthfi, jika kita cakap baik-baik, orang mesti faham. Jika orang yang sememangnya berniat memerangkap kak fynn, dia akan sebarkan jwpn tersebut utk menunjukkan bertapa kurang ajarnya seorang fynn jamal.

Which membawa kepada persoalan terakhir, mengapa jadi pengikut jika tidak suka?

Manusia, terutama kaum Melayu ada satu sifat bermuka-muka yang sangat hebat. Walaupun tidak menyukai seseorang, mereka boleh berlakon seperti malaikat dihadapan orang yang dibenci. Dan jika tiba masa yang sesuai, mereka tidak teragak-agak untuk mengkhianati orang tersebut.

Jadi manusia yang normal tak pernah akan membuang masa hidupnya mengikut sesuatu yang dia tidak suka.

Ohh, bebelan di atas ini adalah kerana baru-baru ni di ASK kak fynn heboh tentang hukum bersahur iaitu kak fynn berkata bagi dia, dia akan menghabiskan apa yang di dalam mulut apabila dengar azan Subuh.

Dia sudah menyatakan itu adalah apa yang dipelajari, si penanya bebas mencari jawapan sendiri dari golongan yang lebih arif. Malangnya saat ini muncul beberapa penanya yang mempunyai vibe astasizah menegur kak fynn. Kerana penyataan2 mereka inilah aku berhenti baca ASK yang lain kerana merasakan mereka mencetuskan vibe negatif dalam ruang itu.

2. Isu plagiat Duck Scarf

Berkenaan isu plagiat corak dan design tudung Duck yang terbaru dikatakan serupa dengan design tudung keluaran Nia (Sleepyllama). Bahkan, konsep promosi tudung tersebut juga sama iaitu si model sedang melukis atas kanvas sambil memakai tudung tersebut.

Dari sudut Nia, aku tak rasa dia seorang yang suka mencari pasal sesuka hati. Bahkan ketika di Thinker Studio, dia sangat dedicated dgn kerjanya, bukan seorang gadis bandar tipikal yang meliuk lentok tergedik mengharapkan perhatian lelaki. Dia cantik dan kadangkala seksi tapi pada kebanyakan masa dia lebih suka menjadi introvert. Dia menggunakan sepenuh potensi dirinya untuk terlibat dalam bidang seni kreatif, modelling dan perniagaan. Bahkan, dia pernah menjadi model duck cosmetics, tidak mungkinlah dia saja-saja mencari pasal dengan bekas kliennya. Jadi pada pendapat aku, pernyataan yang dibuat adalah legit.

Dari sudut Vivy pula, tahun 2020 seakan-akan menjadi tahun kontroversi untuk dirinya. Dia mungkin ada hujahnya yang tersendiri dan jika pun dia sememangnya bersalah, aku percaya dia bukan jenis yang baling batu sembunyi tangan. Sebagaimana dia meminta maaf secara terbuka berkenaan isu M40 T20 dahulu, sekurang-kurangnya dia takkan biarkan isu plagiat ini menjejaskan perniagaannya. Aku percaya hanya undang-undang boleh menyelesaikan masalah ini kerana pihak luar yang tak tahu apa-apa seharusnya tak campur tangan.

"Kau ni penjilat orang kaya dan femes eh? Kenapa kau masih nak bela dia? Dia tu teruk tahu!"

Untuk kedua-dua figura yang aku bincangkan diatas, pertama sekali, aku tak pernah beli produk mereka. Yang menjadikan aku bukanlah penyumbang kekayaan mereka. Jika kau nak kata aku penjilat Nurul Syahida (penulis novel) maka mungkin ya, aku memang memiliki hampir kesemua novelnya dan menyumbang kepada kekayaannya. Itupun aku tak memiliki buku cerita remaja atau buku hantunya.

Aku lebih suka memandang sesuatu kesalahan pada perbuatan tersebut, bukan dari si pelaku. Siapa dia, dari mana dia datang semua itu hanya penyumbang kecil pada kesalahan tindakan yang dia lakukan. Jangan hanya kerana satu dua kesalahan, kita terus mengatakan dia jahat, teruk. Kita bukan Tuhan untuk mengatakan yang sedemikian. Bahkan untuk kes Ustaz Abu Syafiq, aku sudah berasa jengkel bukan dengan dia saja malah pada media yang menggembar gemburkan isu ini hingga aku memadam setiap feed yang berkenaan isu ini. Sudah cukup-cukuplah bergaduh. Dah tak penting siapa betul siapa salah, tapi kenapa umat Islam sendiri perlu bermusuh?

Aku suka untuk memetik kata-kata Mat Luthfi dalam buku Momen2 MatLuthfi. Kata-kata yang tanpa aku sedar, aku pegang setiap kali aku berhadapan dengan isu atau masalah dlm hidup.

Sementara kita asyik berhujah dengan orang, kita jangan lupa untuk bagi dia ruang untuk berfikir (dan ruang untuk kita berfikir) supaya dia dapat berpatah balik jika dia salah (dan vice versa). Jangan dok hambat orang sampai dia lari tak cukup tanah malah lebih jauh dari kebenaran yang kita percaya. 
Analoginya seperti mengejar orang bersalah sampai ke penghujung cerun. Dia sudah sedar kesalahannya kerana hujahnya sudah menemui 'cul de sac' . Pada masa itu tergamakkah kita menghantarnya ke gaung?

Usahlah menanti dengan penuh sinis supaya kita dapt menikmati pengakuan kesalahan dia lalu digelakkan orang itu dengan sindiran-sindiran yang menyakiti hati. Ini sukriyyah, satu bentuk sarcasm yang bercampur penghinaan yang diharamkan dalam Islam. Kalau nak buat sarcasm, buat sarcasm yang semua orang boleh gelak bukan discriminative.

Aku rasa aku ada kongsikan sebelum ni tapi bukan word by word. Mungkin dengan penjelasan dari mat ni, buat semua orang lebih faham berbanding ayat aku yang kadangkala tonggang terbalik.

Sekian.


Ps: Aku baru perasan ada beberapa gambar dalam blog ni sudah dibuang secara tak sengaja. Aku malas mencari balik jadi, biarkan sajalah ye

No comments:

Post a Comment